MENU

Sumber: Berita Harian
Tarikh: 26/2/09
Timur: Sidang DUN Kelantan: Kelantan bebas sampah 2010
Oleh Khairul Anuar Abd Samad dan Haspaizi Mohd Zain
bhkb@bharian.com.my

KOTA BHARU: Kerajaan negeri yakin Kelantan mampu bebas sampah sepenuhnya pada 2010, menerusi pelbagai usaha yang dijalankan secara agresif sepanjang tahun ini bagi mencapai matlamat itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata 2009 diisytiharkan sebagai Tahun Membasmi Sampah oleh kerajaan negeri dengan lima penekanan bagi memastikan Kelantan bersih menjelang tahun depan.

Lima penekanan itu merangkumi usaha menambah jentera pengangkut sampah serta pelbagai jentera berkaitan dengan kos RM5 juta. Selain itu, operasi kutipan sampah dijadualkan semula dengan pengutipan bukan saja dilakukan pada siang tetapi juga sebelah malam.

"Langkah lain ialah memperkenalkan zon bersih sampah dengan Seksyen 12 Kota Bharu dijadikan model kawasan terbersih di Kelantan serta mengadakan gotong royong kebersihan membabitkan semua pihak.

"Selain itu, kita memperkasakan undang-undang sedia ada dengan mula mengenakan denda RM500 sehingga RM1,000 bagi kes tidak menjaga kebersihan," katanya

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga) pada hari kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini semalam Takiyuddin berkata, MPKB sudah menetapkan waktu khusus yang dibenarkan kepada penduduk sekitar jalan utama bandar ini, bagi tujuan membuang sampah.

"Mereka kini hanya dibenarkan membuang sampah adalah sekitar jam 7 petang hingga 9 malam dan mereka yang membuang sampah lebih awal daripada waktu itu boleh dikenakan tindakan".

Perkara ini sudah pun dikuatkuasakan sejak awal bulan ini dan sesiapa yang melanggar peraturan ditetapkan ini, boleh dikenakan denda antara RM500 sehingga RM1,000

Malah MPKB sudah mengeluarkan saman terhadap mereka yang melanggar peraturan terbabit. Ini adalah bagi memastikan pemandangan di sekitar bandar Kota Bharu bebas daripada sampah," katanya.

Takiyuddin berkata, pusat pelupusan sampah dekat Sabak juga, akan digantikan dengan lokasi baru yang sudah dikenal pasti membabitkan kos pembangunan kira-kira RM100 juta.