MENU

Kelantan pertahan gelaran juara keseluruhan Pesta Wau Antarabangsa Oleh Siti Rohana Idris bhkb@bh.com.my

SABTU, 4 JUN 2016 @ 9:09 PM

TIMBALAN Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Hassan Mohamood (dua dari kiri) pada majlis perasmian penutup Pesta Wau Antarabangsa di Pantai Geting, Tumpat. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

TUMPAT: Kelantan terus mengekalkan keunggulannya apabila sekali lagi muncul sebagai juara keseluruhan Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2016 untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam pertandingan yang diadakan di Pantai Geting, di sini, daripada lapan kategori yang dipertandingkan, lima daripadanya dibolot oleh pasukan dari Kelantan.

Lima kategori itu adalah Wau Bulan Naik Kebangsaan, Wau Jalabudi Naik Kebangsaan, Wau Daun Naik Kebangsaan dan bengkel membuat wau kebangsaan (pembuatan/sobek).

Pengurus Pusat Penerangan Pelancongan negeri Kelantan (TIC), Mohd Sabilly Mohd Ramli Annuar, berkata penganjuran yang memasuki tahun ke-34 itu sentiasa mendapat sambutan daripada peserta termasuk dari negara luar.

Katanya, daripada 285 peserta, 31 daripada mereka datangnya daripada 13 negara termasuk Ukraine, Thailand, Sweden, New Zealand dan Jerman.

"Selain peserta yang mewakili negara atau negeri masing-masing, ada juga yang menyertai pertandingan ini mewakili sekolah serta agensi," katanya ketika ditemui di sini, tadi.

Mohd Sabilly berkata, sepanjang tiga hari pesta itu berlangsung, ia dikunjungi lebih 5,000 pengunjung termasuk pelancong.

"Mengikut perangkaan TIC, sehingga April lalu seramai 1.6 juta pelancong domestik dan antarabangsa datang ke negeri ini bagi suku pertama tahun ini.

"Jumlah itu melepasi sasaran sebanyak 1.5 juta dan dijangka mencapai sasaran 6 juta kedatangan pelancong menjelang akhir tahun ini," katanya.

Majlis perasmian penutup Pesta Wau Antarabangsa itu disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Hassan Mohamood.