MENU

SINAR HARIAN, ROHANA ISMAIL

14 DISEMBER 2016

  

Dinding bangunan KBC Pengkalan Kubor mula dilukis dengan lukisan yang menonjolkan budaya rakyat Kelantan.

 

TUMPAT - Usaha mengindahkan Kawasan Bebas Cukai (KBC) Pengkalan Kubor dengan lukisan mural memberi imej baharu sebagai satu kawasan tumpuan ramai kerana KBC merupakan pintu masuk utama pelancong ke negara ini.

Kerja-kerja penghasilan lukisan mural atau projek KBC Street Art itu dijayakan seramai 11 penuntut Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Bachok.

Yang Dipertua Majlis Daerah Tumpat (MDT), Rosnazli Amin berkata, projek KBC Street Art adalah kolaborasi bersama Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, MDT dan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia.

“Ada beberapa fasa untuk mengindahkan KBC ini dengan lukisan mural, projek ini dipilih sebagai satu inisiatif untuk menghidupkan lorong-lorong bangunan yang tidak terjaga tetapi selamat dan strategik.

"Ia juga mempunyai impak yang positif dalam memberi mesej kepada masyarakat melalui kaedah pendidikan dan pengajaran yang disampaikan secara lukisan,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Wan Rahim Wan Mustapha dan Pensyarah Jabatan Seni Halus, Yuhanis Ibrahim.

Rosnazli berkata, konsep yang diketengahkan dalam lukisan mural itu memaparkan keunikan budaya dan aktiviti masyarakat serta tempat menarik khususnya di Tumpat.

“Lukisan permainan wau, permainan congkak, aktiviti ekonomi penduduk seperti menjemur ikan kering, pembuatan budu, keharmonian masyarakat majmuk di Tumpat seperti masyarakat Melayu, Cina, India dan Siam,” katanya.

Menurutnya, perubahan imej di KBC ini juga mampu menarik pelancong kerana di sini adalah pintu masuk pelancong asing dan keunikan budaya Kelantan dapat ditonjolkan.

Katanya, siapnya projek KBC Street Art itu ianya tentu akan menonjolkan suatu identiti baru, meningkatkan keceriaan, keindahan dan kebersihan KBC ini.

“Ianya juga akan menjadi tarikan baru kepada pelancong bukan sahaja sebagai tempat membeli belah tetapi sebagai ruang menarik untuk berinteraksi sosial,” katanya.